SUKA BLOG INI?

Isnin, 16 April 2012

MAAFKAN ABANG, SAYANG



Renungan buat pencari syurga dunia 
Suatu hari seorang suami berbicara dengan isterinya yang cukup dicintai
Suami : Sayang, sebenarnya ada sesuatu yang abang pendamkan dari sayang selama ini. Nurani abang menyatakan bahawa abang tidak lagi mampu menanggungnya… Setelah melihat tindakan sayang terhadap abang selama ini. Abang mohon maaf sangat-sangat sekiranya apa yg abang katakan ini akan membuatkan sayang bersedih.
.
Isteri : (Dengan penuh terkejut). Abang, kenapa ini ? Jelaskanlah kepada sayang. Adakah selama ini sayang tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri abang dengan sebaik2nya ? Sayang mohon maaf sangat2 abang….
Suami : Tidak sayangku, sayang merupakan anugerah Allah yg cukup abang syukuri. Sayang menjadi penawar bagi setiap kedukaan abang, menjadi pendokong kuat atas setiap tindakan abang. Sayanglah contoh terbaik isteri idaman yg menjadi sayap kiri para mujahid agama.
.
Isteri : Abang, selama ini sayang cuba sedaya upaya untuk membahagiakan abang. Abanglah pemilik kasih sayang selepas Allah dan RasulNya. Sayang serahkan sepenuh raga sayang hanya buat abang, imam yang Allah lantik untuk membimbing sayang menempuhi rintangan duniawi ini. Sayang sentiasa berdoa agar Allah memberi peluang kepada kita untuk terus bersama di syurgaNya kelak.
.
Suami : Benar sayang, abang juga sentiasa memohon kepada Allah agar mengizinkan kita untuk terus bersama. Sayang, maafkan abang… Apa yang abang katakan ini mungkin telah lama berlalu, namun abang sentiasa dihambat rasa menyesal dan bersalah apabila mengenangkannya.
.
Isteri : Abang, ceritakan lah… Sayang rasa tiada yang abang rahsiakan kepada sayang selama pernikahan kita ini.
.
Suami : Sayang, abang bimbang cinta abang tidak standing dengan cinta sayang terhadap diri ini. Abang tahu bahawa sayang benar-benar memelihara diri sebelum pernikahan kita. Sayang pendamkan gelora cinta yang dirasakan demi menjaga kesucian cinta dan diri. Setelah Allah menyatukan kita bersama, sayang serahkan segalanya kepada abang. Abang cukup bahagia merasakan agungnya cinta sayang ini…
Namun begitu, abang cukup rasa bersalah dengan sayang. Cinta yang mampu abang persembahkan ini bukanlah cinta yang sesuci cinta sayang berikan. Ianya telah tercalit dengan dosa-dosa semalam. Abang cukup menyesal sayang… 
.
Isteri : Abang, janganlah begini… Sayang menerima diri abang seadanya (Sambil memeluk erat suaminya). Istikarah cinta yang menyatukan kita bersama. Sayang turutkan petunjuk Allah meskipun kita tidak pernah berkenalan sebelum ini. Meskipun sewaktu pertunangan kita, abang cukup memelihara batas-batas syariat antara kita. Kita tidak berpacaran sewenang-wenangnya. Walaupun abang memiliki nombor hp sayang, tiada sepatah kata sms cinta pun yang abang hantarkan kepada sayang kerana bimbang akan melalaikan. Kita hanya berbual berkenaan perkara yang perlu sahaja seperti urusan pernikahan kita. Apabila perlu bersua, abang sentiasa memastikan bahawa ayah atau abang sayang sentiasa bersama-sama. Di sinilah sayang memahami bahawa cinta abang terhadap sayang benar-benar terbina di atas kerangka Islam. Bermula dari itu, sayang berjanji untuk menjadi isteri yang solehah untuk abang, semampu yang sayang persembahkan.
.
Suami : Benar, segala yang abang lakukan selama ini hanyalah untuk meraih redha Ilahi. Malahan pertemuan kita dulu pun diatur sendiri oleh kedua ibubapa kita. Alhamdulillah, redha Allah bersama-sama keredhaan ibubapa.
Namun begitu, abang bimbang sayang tidak redha dengan tindakan abang sebelum pernikahan kita. Abang hanya mampu menyerahkan sebahagian cinta abang kepada sayang. Sebahagian yang lain telah abang serahkan kepada insan-insan yang tidak halal sebelum ini. Semuanya abang lakukan hanya menurut hawa nafsu dan keinginan untuk dilihat “normal” pada pandangan rakan-rakan. Dengan kejahilan dahululah, abang menyangka bahawa cinta yang abang serahkan itu mampu membawa kebahagiaan yang didamba-dambakan.
Izinkan abang berkongsi kisah ini sayang… Seandainya Allah mengambil dahulu nyawa abang, sampaikanlah ia kepada anak yang sedang sayang kandungi ini. Semoga menjadi panduan dia melihat erti percintaan sebenar. Inilah kisah percintaan abang sebelum Allah pertemukan kita berdua….
.
“Permulaan cinta pertama abang selepas berakhirnya SPM. Abang mengasihi gadis pertama kerana tertarik dengan godaan rakan-rakan yang asyik berpacaran. Ungkapan cinta dan rindu yang mereka luahkan sesama sendiri membangkitkan keinginan untuk abang turut sama bercinta. Cinta dalam erti kata sebelum pernikahan. Abang pada mulanya malu-malu kerana tidak pernah melakukannya, namun atas “dorongan” kawan-kawan abang meluahkan perasaan itu kepada seorang gadis yang sering dikaitkan dengan abang. Rupa-rupanya gadis itu turut sama memendam rasa yang sama terhadap abang.

Suatu perasaan yang cukup membahagiakan dirasai takkala mendengar pengakuan dirinya itu. Kami pun berpacaran melalui sms. Sms berbau “Islamic” sentiasa abang hantar dengan harapan agar percintaan ini benar-benar diredhai Allah. Hinggalah pada suatu hari, gadis itu meminta “clash” dengan abang atas alasan tidak bersedia. Abang terkontang-kanting apabila ditinggalkan. Menitislah air mata ini takkala merasakan diri tidak diperlakukan dengan sebaik-baiknya. Terasa sia-sia segala usaha abang menawan hatinya selama ini.

Masa berlalu dan muncul pula gadis kedua di dalam hidup ini. Gadis yang abang minati sewaktu mulai melangkah ke alam pengajian tinggi. Abang tertarik disebabkan oleh kecantikan yang Allah kurniakan kepada dirinya. Tambahan pula, gadis itu sentiasa mengenakan solekan dan pakaian yang menyerlahkan lagi kecantikan yang ada. Abang menggunakan taktik “sms” untuk meraih cintanya. Semakin dicuba semakin sukar. Lantas digunakan perantara dari kalangan kami. Sahabat abang itu menjadi “penasihat” yang tidak putus-putus memberikan pelbagai cadangan dan sokongan untuk menjayakan “misi” ini. Putus asa dengan pelbagai kegagalan yang dihadapi, abang akhirnya berhenti mengejar gadis itu.
 Tidak lama kemudian, muncul gadis ketiga yang mencuri cinta abang. Seorang yang boleh dikatakan setanding dengan gadis kedua tadi. Cuma bezanya dia menerima cinta abang itu. Kami berpacaran seperti mana yang diistilahkan muda mudi sekarang sebagai “Couple”.

Abang sentiasa cuba memberikan setulus cinta ini terhadapnya. Kami sentiasa keluar bersama-sama, namun tidak berdua-duaan. Bimbang juga terjerumus kepada penzinaan. Suatu perkara yang abang perhatikan ialah gadis ini sentiasa cuba meminta abang menghabiskan wang bagi memenuhi kehendaknya. Mahu dibelikan itu, mahu makan ini dan sebagainya. Pada masa yang sama abang mendengar ura-ura dia ingin beralih kepada pemuda lain. Disebabkan marah terhadap tindakan itu, abang “melempar” terus dirinya dari hidup ini.

Gadis keempat abang temui melalui perantaraan seorang rakan sekelas. Seorang pelajar lepasan sekolah agama yang abang harap dapat memenuhi kriteria isteri solehah yang diidam-idamkan. Abang kini merasakan diri lebih matang dan cuba menyintai dirinya dengan seikhlas-ikhlasnya. Kami bersama-sama selama 2 tahun dan ramai yang beranggapan bahawa gadis ini yang bakal menjadi isteri abang kelak. Abang cuba mendalami ilmu agama agar setanding dengan kesolehanya itu.

Kami sentiasa berbincang tentang hal-hal agama dan sentiasa nasihat-menasihat antara satu sama lain. Abang juga sentiasa melawatnya di kampusnya dan turut memperkenal dirinya di hadapan kedua ibubapa. Kami sentiasa berhubung melalui sms dan panggilan setiap hari untuk memadu kasih.
Dengan takdir Allah, abang merasakan sesuatu yang tidak kena menerusi cinta ini. Benar kami saling cinta-mencintai namun pada masa yang sama saling leka-melekai. Abang berasa begitu tidak selesa kerana bermuka-muka menjadi seorang yang penyayang. Ini kerana sayang abang terhadap dirinya itu sebenarnya jauh lebih mendalam berbanding kasihnya abang terhadap kedua ibubapa. Hatta kepada kedua ibubapa pun abang tidak bertindak demikian yakni untuk sentiasa berhubung sepanjang masa. Pasti ada yang tidak kena dengan cinta ini…

Allah akhirnya membuka hijab sehingga abang dapat melihat kebatilan pada percintaan ini. Meskipun abang cuba untuk mencintainya sepenuhnya kerana agama, tarikan syahwat ternyata kadang kala memesongkan niat itu. Abang merasa begitu seronok untuk mendengar suaranya yang mendayu-dayu sewaktu kami berhubung. Begitu juga sewaktu bergurau senda. Meskipun abang tidak pernah bersentuhan, naluri untuk melakukan sesuatu yang ditegah agama cukup membuak-buak. 
Pada ketika itu Allah mencampakkan rasa malu ke dalam diri abang. Malu dengan percakapan yang kadang-kadang menimbulkan syahwat, malu menatap wajahnya sewaktu bertemu. Bukankah malu itu benteng keimanan?

Kerana malu itulah juga abang memutuskan untuk berpisah. Berpisah dengan dirinya kerana agama. Rupa-rupanya keluarga abang tidak begitu merestui hubungan ini. Ternyatalah ada hikmah disebalik semua yang berlaku ini.

Setahun selepas itu, keinginan untuk mencintai dan dicintai timbul semula. Gadis kelima merupakan seorang gadis yang abang cintai disebabkan oleh kemuliaan hatinya yang suka membantu. Dia juga seorang yang periang dan penyayang sepanjang pemerhatian abang. Abang cuba untuk melakukan sesuatu yang lebih baik kali ini. Cuba mengelakkan bahana syahwat yang telah memusnahkan cinta terhadap gadis-gadis sebelum ini. Sementara belum mendapat langkah yang terbaik, abang memendam perasaan itu. Agak kuat juga bahananya sehingga tidak lalu makan minum. Lantas perubahan fizikal abang itu disedari oleh rakan-rakan. Rupanya cukup siksa memendam rasa cinta ini sekiranya benar-benar ingin memelihara fitrahnya.

Abang mendalami kerangka percintaan di dalam Islam seperti mana yang terdapat di dalam filem Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan Dalam Mihrab Cinta. Penggunaan orang tengah ternyata berhasil menyatukan dua insan bagi membina sebuah keluarga bahagia. Abang melakukan solat istikarah beberapa kali. Meskipun tidak mendapat petunjuk yang jelas, abang turuti juga kehendak hati ini. Ibarat menunggu buah yang gugur, abang menunggu untuk menyambut dirinya (yang berkemungkinan besar akan berpisah dengan kekasih lamanya atas permintaan keluarga).
Abang memulakan langkah pertama dengan mengutuskan sepucuk surat menceritakan hasrat hati itu melalui seorang pensyarah yang berperanan sebagai orang tengah. Tiada balasan rasmi daripadanya takkala abang mengutus lagi surat kedua dan ketiga. Kami cuba berkelakuan biasa sewaktu berselisihan di jalanan.

Abang kini tidak lagi meminta pendapat rakan-rakan kerana meyakini bahawa mereka juga seperti abang, masih mentah di dalam urusan seperti ini. Jadi abang sentiasa berhubung dengan pensyarah tersebut berhubung perkara ini. Gadis itu akhirnya memberi respon penghargaan namun masih belum bersedia menerima. Sms juga sentiasa abang kirimkan hanya untuk berkongsi ilmu-ilmu yang ada.
Sayang, percayalah bahawa cinta sebelum pernikahan itu buta lagi membutakan. Setidak-tidaknya ianya rabun yang mana mengakibatkan abang terlepas pandang sesuatu yang penting yakni penghormatan diri. Sms-sms dan gerak geri abang meskipun tidak mengandungi sebarang unsur-unsur nafsu sebenarnya menembunyikan suatu fitnah yang besar.

Abang tidak lagi dihormati kerana ramai yang beranggapan bahawa abang cuba menghancurkan percintaan sepasang kekasih. Abang juga sentiasa berkelakuan seperti orang bodoh hanya semata-mata ingin menuruti cinta dan rindu itu. Banyak tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan pemimpin tidak mampu dilaksanakan dengan baik seperti dulu.
Allah kemudiannya membuka kembali hijab yg menyelimuti percintaan yg abang lalui. Suatu hari abang memberanikan diri untuk bersemuka dan meminta penjelasan sebenar. Gadis itu dengan begitu marah menceritakan perkara sebenar. Dia begitu rimas dengan setiap gerak geri abang terhadapnya. Lebih teruk dari itu, dia sebenarnya trauma melihat abang.
 Hati abang merasa begitu terguris. Hancur sehancur-hancurnya. Bersama-sama seorang abang angkat, abang cuba menilai semula apa yang berlaku.

Hasilnya abang melihat percintaan sebelum pernikahan mengandungi perkara-perkara ini;
1)      Unsur-unsur syahwat yang sukar dilindungi meskipun dilitupi dengan unsur-unsur berbau Islam.
2)      Menghabiskan banyak masa dan tenaga mengejar “cinta” yang didambakan. Mudah bersikap seperti orang yg dungu.
3)      Menghabiskan banyak wang semata-mata untuk memuaskan perasaan diri & pasangannya itu.
4)      Seseorang menjadi bermuka-muka sekiranya mencintai kekasihnya melebihi cintanya kepada kedua ibubapanya. Cinta halal lagi berpahala tidak dikejar, cinta haram membawa dosa dituruti semahu-mahunya.
5)      Tiada nas Al-Quran & Hadis yang membenarkan percintaan ini. Yang ada hanyalah percintaan selepas pernikahan.
6)      “Cinta yang sukar…” seperti mana kata-kata Ustaz Hasrizal. Sukarnya mengemudi cinta ini dari terjerumus ke lembah zina. (Zina Mata, Zina Hati & Zina Tangan)
7)      Kurang keberkatan Allah. Boleh juga dikatakan tiada keberkatan. Buktinya lihatlah perbezaan percintaan datuk nenek kita yang bahagia dengan jodoh pilihan keluarga berbanding percintaan artis yang sering bercerai-berai.
(*Tidak bersifat mutlak kerana semuanya ditangan Allah.*)
8)      Wajib bertaubat sekiranya pernah keluar berdua-duaan. Haram hukumnya di sisi Islam.
9)      Jika tidak mampu bertahan 2,3 tahun bagi menunggu cinta yang halal menerusi pernikahan, cuba bayangkan bagaimana dengan 20, 30 tahun selepas itu ?
10)   Pastikah kita menyerahkan cinta benar-benar pada yang berhak ? Pastikah dia jodoh kita yang tertulis di Luh Mahfuz?
11)  Couple bukan satu pilihan untuk berkahwin. Hatta Rasulullah dipinang menggunakan orang tengah. Keluarga dan org yang alim merupakan pilihan org tengah yang paling sesuai.
Sayang, maafkan lah dosa abang selama ini. Cinta ini bukanlah cinta yang asli namun percayalah abang benar-benar telah menginsafi kejahilan dahulu. Abang telah meluahkan suatu bebanan yang benar-benar mencengkam diri ini selama ini. Abang harap sayang redha dan tetap menerima abang seadanya selepas ini. Cinta ini tidak akan diduakan dengan sesiapa pun lagi. Sayanglah pemilik cinta abang selepas Allah, Rasul dan kedua ibubapa abang.”
..
Isteri : Abang, Allah telah menetapkan jodoh kita bersama. Perkara yang lepas itu biarlah berlalu. Abang pun kini telah berubah. Semoga zuriat yang bakal lahir ini dapat menteladani kisah abang ini sebagai satu panduan mengharungi kehidupan ini. InsyaALLAH. Pegangan hidup yg sayang pegang selama ini ialah “mulia manusia kerana Islam, hina manusia tinggal Islam…”
 “ Kalau suka, jumpalah ibu bapa. Sayangnya, tiada yang berani, tanda tak bersedia. Kalau tak bersedia, kenapa nak bercinta? Bukankah itu pintu zina semata-mata? Nauzubillah. Aku berazam membangkitkan mereka daripada kelalaian fitnah wanita di akhir zaman dengan sebuah prinsip dan ketegasan.” (Fatimah Syarha, Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul)
Jika Zulaikha mampu menunggu Yusuf A.S. hingga bertemu cintanya yang sejati, dimana akhirnya berubah dari seorang penggoda kepada HambaNya. Mengapa “Yusuf” di zaman kini tidak mampu menunggu kehadiran “Zulaikha” yang setia memelihara diri ke dalam hidupnya ?
.
.
RUJUKAN
  1. Pengalaman peribadi penulis
  2. Kompas Cinta, A. Ubaidillah Alias
  3. Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul, Fatimah Syarha Mohd Noordin
  4. Edisi Istimewa Aku Terima Nikahnya, Hasrizal Abdul Jamil
  5. Ceramah-ceramah Ustaz Azhar Idrus di Youtube
>> Ya Allah, aku mendambakan seorang muslimah solehah sebagai isteri yang sah. Namun solehkan aku untuk itu ? Bimbinglah hambamu yang lemah ini Ya Allah <<
Penulis membenarkan artikel ini disebarkan oleh para pembaca dengan harapan masih mengekalkan tagline “AkuIslam.Com” sebagai langkah menarik lebih ramai pembaca sebagai langkah untuk memperkasa usaha berdakwah…  Wallahualam…  = ) 


kredit: http://akuislam.com/blog/renungan/maafkan-abang-sayang/#ixzz1sCPe6fzx

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalammualaikum.
Sesiapa sahaja dibenarkan untuk mengambil bahan ini tanpa meminta izin. Tinggalkan link blog anda untuk saya menziarahi blog anda.Semoga bermanfaat, sahabat.

Segala isi kandungan didalam blog ini boleh dikongsi oleh sesiapa sahaja-SYED MOHAMAD FIRDAUS