SUKA BLOG INI?

Selasa, 10 Ogos 2010

MALAM LAILATUL QADAR

KEISTIMEWAAN MALAM LAILATUL QADAR

Allah Ta'ala telah berfirman di dalam surah Al-Qadr yang bermaksud:

"Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam al-Qadr dan apakah jalan yang menyebabkan engkau mengerti (kebesaran) lailatul qadar itu? Lailatul qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan tuhan mereka (Allah), untuk setiap urusan. Sejahteralah malam ini hingga terbit fajar".

Kebanyakan ulama' Islam menegaskan bahawa kemungkinan berlakunya lailatul qadar adalah pada salah satu daripada malam kesepuluh terakhir sama ada malam ganjil ataupun malam genap.

Yang tetap berlakunya malam lailatul qadar adalah didalam pengetahuan Allah jua. Sesiapa sahaja yang beribadah di malam hari bulan ramadhan, jika kebetulan dengan malam lailatul qadar, maka dikurniakan ganjaran pahala melebihi ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang beribadah selama seribu bulan atau selama 83 tahun 4 bulan berbanding dengan malam yang lain-lain.

Rasulullah s.a.w. sendiri amat bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh malam terakhir daripada bulan ramadhan bersama-sama ahli keluarganya dengna beribadah, bertadharu', beristighfar dan bermunajat kehadrat Allah, memohon rahmat, keampunan dan keredhaanNya.

Walaupun Rasulullah s.a.w. seorang yang maksum, dijamin terpelihara daripada dosa dan noda bahkan dijamin syurga, namun baginda tetap berjaga malam untuk qiamullail, menahan diri daripada tidur kecuali untuk seketika sahaja. Orang yang tekun beribadah pada 10 malam yang terakhir daripada bulan ramadhan akan mendapat rahmat yang dijanjikan sama ada dapat atau tidak menemui apa-apa tanda. Kerana yang penting adalah sepertimana yang tersebut dalam hadis sohih riwayat Bukhari dan Muslim iaitu:

  • Menghayati malam tersebut dengan ibadah
  • Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
  • Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Selain tanda-tanda tersebut, para alim ulama' menyebut bahawa beberapa tanda-tanda lain bila berlaku malam lailatul qadar. Antaranya ialah :

  • Ada yang berkata orang yang menemui malam lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang disegenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
  • Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.
  • Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
  • Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

* Imam Tabari pula menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya seseorang itu dapat melihat atau mendengar kerana tidak disyaratkan melihat atau mendengar sesuatu untuk menemui malam lailatul qadar.

DARJAH-DARJAH PUASA

DARJAH-DARJAH PUASA

Puasa tu mempunyai 3 darjah (tingkatan):

1.

Puasa 'Umum'

  • Puasa kebanyakan orang hanya dengan menahan diri daripada makan, minum dan keinginan syahwatnya.

2.

Puasa 'Al-Khusus'

  • Berpuasa dengan cara menahan diri dari makan, minum, memelihara syahwat keinginannya, serta mengawal anggota-anggota yang zahir seperti mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan bahagian sulit daripada melakukan maksiat.

3.

Puasa 'Khususul Khusus'

  • Berpuasa dengan cara memelihara segala perkara yang tersebut di atas tadi, sambil menjaga hatinya daripada berfikir mengenai hal ehwal dunia dan sifat-sifat riak, 'ujub, takabbur dan lain-lainnya.

Isnin, 9 Ogos 2010

PUASA

Perkara-perkara yang disunatkan bagi orang-orang yang berpuasa adalah:

  • Menyegerakan berbuka puasa manakala telah yakin masuk matahari.

  • Berbuka puasa dengan buah tamar atau benda-benda manis, dan jika tidak didapati dengan air.

  • Membaca do'a yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

  • Makan sahur

  • Menta'khirkan (melambatkan) makan sahur, tetapi janganlah sampai masa yang disyak naik fajar.

  • Mandi kerana mengangkat hadath besar sebelum fajar.

  • Membanyakkan bersedekah dan ibadah seperti membaca Al-Quran, sembahyang sunat seperti Tarawih dan Witir.

  • I'tikaf.


Puasa akan batal dengan salah satu daripada perkara-perkara di bawah ini :

o Memasukkan sesuatu ke dalam dubur (jalan belakang) atau qubul (jalan depan) dengan sengaja.

o Muntah dengan sengaja (jika termuntah, tidak batal puasa).

o Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak mengeluarkan mani.

o Mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan jalan bersuka-suka seperti berpeluk cium dan sebagainya.

o Kedatangan haid atau nifas.

o Gila sekalipun hanya sekejap masa.

o Mabuk atau pengsan sepanjang hari, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

o Bersalin.

o Murtad-iaitu orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada dengan hati, perkataan atau perbuatan.

Puasa tidak akan terbatal dengan salah satu daripada perkara-perkara di bawah ini :

§ Menelan air liur yang bersih dan dimaafkan orang yang gusinya selalu berdarah.

§ Bersuntik.

§ Termasuk debu atau tepung yang halus ke dalam rongga.

§ Termasuk lalat atau nyamuk dan seumpamanya ke dalam rongga.

§ Termasuk air berkumur-kumur atau air yang dihisap ke hidung dengan tidak bersangatan.

§ Termasuk air mandi wajib atau mandi sunat, tetapi batal puasa jika mandi bersejuk-sejuk dan bersukaria.

Perkara-pekara yang makruh dilakukan oleh orang yang berpuasa adalah:

§ Menggosok gigi selepas gelincir matahari.

§ Merasa makanan-takut sampai ke rongga.

§ Memamah sesuatu-kerana membanyakkan air liur dan ditakuti akan tertelan.

§ Mencium atau mengkucup isteri.

§ Banyak berkumur-kumur.

§ Mengeluarkan darah seperti berbekam dan lain-lain.

Beberapa adab-adab yang baik bagi menambah kesempurnaan dan pahala puasa adalah:

· Jangan banyak berludah.

· Jangan membuang masa dengan berbual-bual kosong dan melakukan perkara tidak berfaedah.

· Menghindar diri daripada melihat perkara-perkara yang haram.

· Menjauhkan diri dari sebarang pendengaran yang haram.

· Jangan mengeluarkan perkataan-perkataan yang mencarut dan kotor.

· Menguasai tangan dari melakukan perbuatan haram dan menahan kaki dari berjalan ke tempat-tempat maksiat.

· Jangan berlebih-lebihan makan dan minum ketika berbuka.

· Jangan boros dalam perbelanjaan makan minum dan sebagainya.

· Jangan banyak tidur, terutamanya pada siang hari.


PERKARA-PERKARA YANG MENGHARUSKAN BERBUKA
  • Kedatangan haid dan nifas.

  • Sakit yang membahayakan.

  • Sakit yang tiada harapan sembuh.

  • Tersangat lapar atau dahaga yang membahayakan.

  • Dalam perjalanan (safar) sejauh dua marhalah atau lebih.

  • Tua yang tidak berdaya untuk berpuasa.

  • Kandungan dalam perut bagi perempuan.

  • Menyusukan anak kecil.

Syarat-syarat wajib dan sah puasa


Syarat-syarat wajib puasa ada empat perkara:

  • Islam - orang-orang kafir tidak wajib berpuasa.

  • Sampai umur - kanak-kanak yang belum cukup umur tidak wajib berpuasa.

  • Berakal (siuman)-orang yang gila tidak wajib berpuasa.

  • Berkuasa (berdaya) berpuasa - orang yang sakit merbahaya, orang tua yang lemah dan sebagainya tidak wajib berpuasa.

  • Bermukim - orang yang dalam pelayaran (musafir) lebih daripada dua marhalah tidak diwajibkan berpuasa, tetapi wajib mengqada'nya di hari yang lain.


    Syarat-syarat sah puasa ada enam perkara:

    • Islam - tidak sah puasa orang-orang kafir dan orang murtad.

    • Berakal atau mumaiyiz - tidak sah puasa orang yang hilang akal atau belum mumaiyiz.

    • Suci daripada haidh dan nifas sepanjang siang hari puasa.

    • Berniat tiap-tiap malam.

    • Menahan diri dari segala yang membatalkan puasa.

    • Pada hari yang sah puasa - tidak sah puasa pada hari yang diharamkan berpuasa.

KELEBIHAN PUASA DIBULAN RAMADHAN

KELEBIHAN DAN CARA MENCAPAI KESEMPURNAAN PUASA

Kelebihan Bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah." Surah Al-Baqarah : 185.

Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun.. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

Kelebihan Puasa di Bulan Ramadhan.

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan didalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan sahaja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dalam apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sambda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."

Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Menuju Kesempurnaan Ibadah Puasa

Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut:

  • Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.

  • Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'.

  • Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: "Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram."
    (Surah Al-Maidah:42)

  • Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.

  • Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.
Segala isi kandungan didalam blog ini boleh dikongsi oleh sesiapa sahaja-SYED MOHAMAD FIRDAUS