SUKA BLOG INI?

Selasa, 17 Mei 2011

CONTEST a.k.a KUIZ: SOALAN MANA YANG KORANG BOLEH JAWAB?


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Entri kali ni aku bawakan ala-ala contest gitu. Ala, macam korang-korang yang duk buat contest yang kalau menang boleh dapat award bagai tu la. Tapi contest aku ni dia ada bau-bau bacang dengan kuiz sikit. Err, senang cerita, aku namakan kuiz je la contest aku ni. Ha, nama panjang dia Kuiz Yang Tidak Akan Ada Pemenang Apatah Lagi Award Mahupun Hadiah. Wakaka..




Syarat-syarat penyertaan kuiz ini ialah:
  1. Beragama Islam.
  2. Baligh (Tidak termasuk baligh paksa).
  3. Berakal (Mereka yang kurang waras tidak digalakkan sama sekali).
  4. Berumur 13 tahun ke atas (Sila cek I/C anda untuk tujuan pengesahan).
  5. Tidak dibenarkan meng’google’ untuk mencari jawapan (Sila berlaku jujur).
  6. Tidak kedekut untuk komen (Wakaka).


Ok, dah faham? Anda layak untuk menyertai kuiz ini? Ah! Lantak la kome. Aku dah nak start ni. Harap korang dah bersedia untuk pusingan yang pertama ini.


Eh, jap-jap. Untuk pengetahuan semua peserta, kuiz ni ada dua pusingan. Pusingan pertama soalan-soalan yang diutarakan adalah berkaitan industri hiburan tanah air dan luar negara. Pusingan kedua pulak berkaitan dengan..Ah! nanti la aku cerita, dah lewat ni. Kita mulakan dulu. Ok, semua peserta sila bersedia dengan buzzle masing-masing. Soalan tidak akan diulang taip berkali-kali. Harap maklum.


Soalan 1: Siapakah nama suami kepada penyanyi terkenal Dato’ Siti Nurhaliza?

Jawapan aku: Datuk Khalid Mohamad Jiwa a.k.a Datuk K. Dulu sebelum dia kawin dengan Siti dia bercerai dengan bini dia dulu. Pendek kata dia ni duda la, tapi kaya.


Soalan 2: Apakah nama kumpulan RAP yang terdiri daripada 3 orang adik beradik yang sangat terkenal di Malaysia?

Jawapan aku: KRU! Nama adik beradik tu Yusri, dia ni dulu dah kawin dengan Erra Fazira tapi dah bercerai, yang kedua namanya Edry dan yang ketiga Norman. Ha, nama bapak diorang Abdul Halim.


Soalan 3: Siapakah nama ex-boypren Fasha Sandha yang baru je putus baru-baru ni?

Jawapan aku: Jejai a.k.a Rizal kot nama sebenar dia. Dia ni anak bekas MB Perak sebenarnya. Jap-jap aku nak tambah huraian lagi, dulu dia pernah kawin dengan Nora Danish siap dah dapat anak lagi tapi malangnya dah bercerai jugak.


Soalan 4: Siapakah nama juara Akademi Fantasia musim ke-3?

Jawapan aku: Alah, boring betul soalan. Siapa lagi kalau bukan Mawi, artis keluaran AF yang pernah menggegarkan industri hiburan tanah air dengan kemasyhurannya sampai tahap mak cik-mak cik seluruh negara pun minat kat dia. Termasuklah nenek aku. Heh. Ha, dia dulu pernah bertunang dengan Ina Naim budak satu felda dengan dia. Alih-alih putus jugak diorang ni dan Mawi pun berkahwin dengan si Ekin. Ops, melampau-lampau pulak panjang jawapan aku ni. Huhu, sori yek? Aku ni peminat Mawi.


Soalan 5: Sila senaraikan 3 tajuk lagu yang dinyanyikan oleh Maher Zain?

Jawapan aku: Insya Allah, Baraka Allah, Open Your Eyes. Err lagi Thank You Allah, Hold My Hand. Alah aku boleh bagi satu album tajuk lagu dia la. Kalau nak suruh aku nyanyi pun boleh. Maher Zain dengan aku tu bukan orang lain. Bau-bau belacan jugak tau? Suara pun iras-iras. Wakaka.


Teett!!

Oh! Nampaknya masa untuk pusingan pertama sudah pun tamat. Sila kira kutipan markah korang tanpa menggunakan sebarang alat bantu kira seperti kalkulator, sempoa dan sebagainya. Kita akan kembali selepas ini.


**********
(Berehat seketika serta memberi ruang kepada pesanan daripada penaja)


Kita kembali lagi di dalam contest.... Kuiz Yang Tidak Akan Ada Pemenang Apatah Lagi Award Mahupun Hadiah!


Ok, sekarang kita akan sambung ke pusingan yang kedua. Seperti biasa para peserta diingatkan untuk bersedia dengan buzzle masing-masing. 60 saat dari sekarang!


Soalan 1: Sila baca doa qunut Subuh siap dengan maknanya sekali.

Jawapan aku: Erk, alamak! Aku tak berapa hafal la. Aku sembahyang subuh gajah tak pernah baca qunut la. Tapi tak pe kan? Sunat je kan?


Soalan 2: Sila nyatakan jenis-jenis haji?

Jawapan aku: Eh, haji pun ada jenis-jenis jugak ke? Ha aku tahu la jawapannya. Soalan ni saja nak trick je ni. Aku tahu la ada dua jenis haji kan? Yang pertama haji mabrur dan satu lagi dam aji.


Soalan 3: Berapa orangkah isteri Rasulullah s.a.w? Senaraikan nama-nama mereka.

Jawapan aku: Yang aku tahu Nabi s.a.w ada ramai isteri kan? Belas-belas orang gitu la kot. Nama-nama diorang Siti Khadijah, Siti Aisyah..err, lagi, lagi... Lupa la. Erk, Fatimah kot?!


Soalan 4: Sila baca lafaz niat solat untuk jenazah lelaki beserta dengan maksud.

Jawapan aku: Lain ke niat untuk lelaki dengan perempuan? Erm, kalau aku baca dalam BM saja boleh tak? Aku biasa niat dalam BM je. Yang dalam Arab aku ingat setakat usolli je.


Soalan 5: Siapakah sahabat Rasulullah s.a.w yang dikenali sebagai Zunnurain?

Jawapan aku: Hah?! Erk, ada talian hayat tak? Aku tak tahu la. Aku bukan ustad. Aku bukan budak agama la..


Teett!!

Masa untuk pusingan kedua nampaknya sudah pun tamat. Maka berakhirlah sudah kuiz ini. Sekarang sila kira soalan pada pusingan manakah yang anda boleh jawab dengan jayanya.


Dah tahu keputusannya? Sekarang boleh la korang nak bagi award apa pun kat diri korang. Si pencinta Islam kah? Atau pencinta hiburan kah? Si pengikut nabi kah? Atau pengikut artis kah? Renung-renung dan jangan termenung.


P/S: Sila abaikan jawapan aku atau dalam bahasa mudahnya, korang jawab sendiri la jangan tiru aku!


~Ambil tahu apa yang kita perlu tahu~

Isnin, 16 Mei 2011

Seni Menjaga Hati Ibu Bapa


Seni Menjaga Hati Ibu Bapa

15 perkara yang anak boleh lakukan untuk menjaga hati insan yang sangat berjasa.

Bagaimana untuk berhalus dalam menjaga hati ibu bapa?

1. Ibu bapa akan sejuk hati jika cakap mereka ditaati dan diikut. Contoh mudah, kalau anak pandu kereta dan ayahnya

duduk di sebelah memberi tunjuk jalan, ayah akan rasa senang jika anak ikut cakapnya walaupun si anak mungkin lebih

tahu jalan dari ayahnya. Kalau anak bantah atau berkeras tidak mahu ikut, ayah mungkin sakit hati.

2. Semua orang suka dibahasakan dengan baik. Kalau anak bercakap lunak, tentu ibu bapa senang. Berbanding kalau

anak tinggikan suara atau bercakap kasar, ibu bapa mudah tersinggung. Sebab itu Allah sebut dalam al-Quran,

hendaklah bercakap kepada ibu bapa;dengan perkataan yang mulia” (Al-Israk: 23).

3. Ibu bapa mana yang tidak suka dan tidak rasa bahagia jika anak sedia berkhidmat dan berbakti. Lebih-lebih lagi bila

ibu bapa sudah lanjut usia dan perlu lebih perhatian dan jagaan. Berbakti kepada ibu bapa perlu pada sifat ringan tulang.

Dengan ringan tulang kepada mereka, kita dapat jaga hati mereka dan dalam masa yang sama, beroleh keberkatan

dalam hidup. Sesiapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah habuannya dan Allah akan

memanjangkan (pula) umurnya; (Hadis riwayat Abu Ya;la, at-Thabrani, as-Syaibani dan al-Hakim)

4. Raut wajah anak akan beri kesan kepada hati orang tua. Oleh itu cara mudah untuk gembirakan hati mereka ialah

selalu senyum, bermanis muka dan pandang mereka dengan penuh kasih sayang. Memandang ibu bapa (dengan kasih

sayang), menurut Nabi s.a.w., adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud)

5. Hati ibu bapa terhibur jika anak tahu hormati mereka dan hormati pandangan mereka. Kalaupun ada perkara yang

anak tidak setuju, dia masih tunjuk rasa hormat, tidak membangkang. Nabi s.a.w. banyak memberi panduan cara-cara

hormat pada ibu bapa. Antaranya, baginda melarang seorang anak berjalan mendahului ibu bapanya atau duduk

sebelum ibu bapanya duduk. Baginda juga tekankan perlunya anak membiasakan budaya minta izin pada ibu bapa,

seperti minta izin untuk masuk bilik mereka.

6. Pemberian dari ibu bapa jika dihargai, membuat hati mereka senang. Mungkin mereka beri sesuatu pada anak kita

(cucunya) lalu kita beritahu anak itu supaya hargai pemberian nenek atau datuknya. Menghargai pemberiannya sama

dengan menghargai dirinya.

7. Rasulullah s.a.w. sewaktu dikunjungi ibu susuannya Halimah as-Saadiah, telah membentangkan kain ridaknya untuk

diduduki oleh si ibu. Betapa bahagianya si ibu tua diperlakukan begitu. Layanan; ini tentulah lebih

layak diberi pada ibu bapa kandung, lebih-lebih lagi yang sudah lanjut usia. Kalau dia rasa kurang diraikan atau kurang

diberi perhatian, dia mudah tersinggung. Ini biasa berlaku bila ibu bapa tengok anaknya melebihkan isteri atau suaminya

berbanding ibu bapa sendiri. Apalagi kalau ibu bapa tinggal serumah dengan anak dan menantu.

8. Meraikan ibu bapa juga merangkumi meraikan kenalan atau tetamu mereka. (Malah dalam Islam, selepas ibu bapa

tiada pun, seorang anak masih dituntut meraikan kenalan baik arwah ibu bapanya.)




9. Alangkah bahagianya jika ada orang yang peka dengan apa yang kita suka atau tak suka. Lebih-lebih lagi jika

kepekaan itu datang dari seorang anak. Anak tahu apa kesukaan ibu bapanya, lalu itulah yang dia buat. Dia tidak buat

sesuatu yang dia tahu ibu bapanya tak suka. Dia juga tahu apa makanan kesukaan ibu bapanya, tempat yang ibu

bapanya suka pergi dan sebagainya.

10. Jauh di sudut hati, ibu bapa akan rasa bangga jika selalu diminta pandangan dan nasihat. Atau diminta restu dan

doa dalam apa-apa keputusan terutama melibatkan soal kahwin, kerjaya, sambung belajar dan lain-lain persoalan besar

dalam hidup anak. Tetapi jika anak minta restu, misalnya untuk kahwin, dengan cara mendesak, ini boleh sakiti hati

mereka.

11. Kebanyakan ibu bapa ada simpan hasrat terhadap anak &dan mahu anak berjaya dalam hidup, jadi anak soleh,

tahu kenang jasa. Memenuhi hasrat mereka adalah salah satu cara untuk gembirakan mereka. Jika anak tak ambil

peduli hasrat dan harapan ibu bapa, hati mereka akan kecewa dan terguris.

12. Untuk membalas sepenuhnya jasa ibu bapa memang tak mungkin, tapi jika anak tahu kenang jasa, ibu bapa akan

rasa bahagia. Misalnya jika sudah bekerja, disumbangkan sekian banyak daripada duit gaji kepada ibu bapa. Bila sudah

berkeluarga sendiri, sumbangan ini tak pernah putus walaupun mungkin berkurang sedikit. Bila ada duit lebih pula, tak

lupa dikirim pada ibu bapa. Ibu bapa sakit, cepat-cepat dia balik jenguk dan usahakan rawatan yang patut. Kalau perlu,

dijaganya di hospital atau diminta isterinya tolong jagakan. Dibawanya ibu bapa pergi haji atau umrah jika mampu.

13. Jika sudah tidak tinggal bersama ibu bapa, seorang anak perlu selalu berhubung dan jenguk mereka. Tak cukup

hanya kirim duit tiap-tiap bulan atau kirim kad raya;pengganti diri;, terutama jika mereka sudah lanjut usia,

selalu sakit-sakit atau nyanyuk. Adakalanya bagi si ibu tua, cukuplah kalau dapat rasai belaian tangan anak yang pernah

dikandungnya. Atau kalau anak mahu duduk dengar luahan hati, omelan atau ceritanya. Banyak kes hati ibu bapa yang

retak sebab tidak begitu diindahkan anak, sakit peningnya tak diambil peduli atau anak sudah jemu dengar omelannya.



14. Anak boleh panjangkan jariah untuk ibu bapa; misalnya bersedekah dengan niatkan pahalanya untuk mereka. Ini

tidak semestinya dibuat sewaktu ibu bapa sudah meninggal. Ketika mereka masih ada, mereka tentunya akan terhibur

jika tahu yang si anak telah buatkan jariah untuk mereka.

15. Ibu bapa juga mengharap ada anak yang sudi doakan mereka. Kalau memang ada, mereka tentu rasa bahagia dan

bangga. Tapi kalau mereka rasa si anak tak pernah doakan mereka, mereka akan pendam rasa. Cukuplah kalau

seorang anak itu merasakan dia banyak ‘berhutang’ dengan ibu bapanya untuk membuatkan dia rasa

sangat terhutang budi dan rasa patut membalas jasa serta menjaga hati mereka dengan apa jua cara yang dikira wajar.

Sabda Rasulullah s.a.w.:;Anak itu belum dapat lagi membalas (jasa) orang tuanya sehinggalah dia mendapatinya

sebagai hamba, lalu dibelinya dan dimerdekakannya; (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

(Koleksi ANIS / Oleh: Zakaria Sungib)

Segala isi kandungan didalam blog ini boleh dikongsi oleh sesiapa sahaja-SYED MOHAMAD FIRDAUS